Thursday, May 24, 2012

Istihadhah


Assalamualaikum

Aku ada benda yang nak dikongsi , berkenaan ngan darah istihadhah yang kebanyakan kita tak tahu, bagi yang sudah tahu , kita ulangkaji balik apa yang kita tahu k..



APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN ISTIHADHAH?

J: Istihadhah ialah darah yang keluar dari bahagian bawah rahim pada selain waktu haid dan nifas. Oleh itu, darah yang keluar melebihi masa terpanjang haid atau nifas, atau kurang daripada masa terpendek haid atau nifas dinamakan istihadhah. Begitu juga darah yang keluar dari kanak-kanak perempuan yang belum mencapai umur sembilan tahun.

BOLEH JELASKAN DENGAN CARA YANG LEBIH MUDAH?

J: Secara mudah, darah istihadhah terdiri daripada enam jenis:
1. Darah yang keluar kurang daripada tempoh terpendek haid.
2. Darah yang keluar melebihi tempoh terpanjang masa haid.
3. Darah yang kurang daripada tempoh terpendek nifas.
4. Darah yang melebihi tempoh terpanjang nifas.
5. Darah yang keluar melebihi kebiasaan haid dan nifas yang telah lepas (melebihi kebiasaan tempoh terpanjang keduanya).
6. Darah yang keluar daripada bahagian bawah rahim kanak-kanak yang belum mencapai umur sembilan tahun.


S. APAKAH KESAN ISTIHADHAH KE ATAS WANITA?

J: Istihadhah bukan penghalang bagi melakukan sebarang ibadat seperti solat, puasa dan ibadat-ibadat yang boleh dilaksanakan sewaktu haid dan nifas.
Pernah diriwayatkan bahawa Fatimah binti Abi Hubaisy telah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: “Sesungguhnya saya ini menderita istihadhah sehingga tidak kunjung bersih. Haruskah aku meninggalkan solat?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Jangan! Tinggalkanlah solat pada hari-hari kamu haid sahaja. Kemudian mandilah dan berwudhu’ tiap kali hendak solat. Kemudian, tetaplah solat, sekalipun darah menitis pada tikar.” (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Abu Dawud, An-Nasa’I dan Ibnu Majah)


S: SAYA KELIRU UNTUK MEMBEZAKAN DARAH HAID DAN ISTIHADHAH KERANA DARAH YANG KELUAR BERLARUTAN UNTUK TEMPOH YANG PANJANG. KADANGKALA BERTERUSAN SEHINGGA DUA BULAN. ADAKAH KESELURUHAN TEMPOH DUA BULAN ITU DIANGGAP ISTIHADHAH TANPA HAID?

J: Terdapat wanita yang mengalami pendarahan yang berpanjangan sehingga berbulan-bulan lamanya. Dalam keadaan ini, apa yang perlu dilakukan ialah wanita itu perlu cuba membezakan antara darah haid dan darah istihadhah. Jika dia tidak mampu membezakannya, dia perlu melihat kepada kebiasaan yang dialaminya termasuklah dari segi jarak minimum antara dua haid dan tempoh terpanjang haid yang biasa.
Untuk menjelaskan lagi perkara ini, sila lihat pembahagian golongan wanita yang mengalami istihadhah seperti berikut:

1. Mubtadi’ah Mumayyizah: baru pertama kali keluar darah daripada rahimnya, tetapi sudah pandai membezakan antara darah haid dan istihadhah.
2. Mubtadi’ah Ghairu Mumayyizah: baru pertama kali keluar darah daripada rahimnya, tetapi tidak pandai membezakan antara darah haid dan istihadhah.
3. Mu’tadah Mumayyizah: sudah pernah mengalami haid sebelumnya, lalu suci, dan tahu kadar haid yang keluar dan jumlah hari suci.
4. Mu’tadah Ghairu Mumayyizah: sudah pernah mengalami haid tetapi tidak mampu membezakan antara darah haid dan istihadhah. Oleh itu, hendaklah dia berpegang kepada kebiasaannya yang telah lalu.


S: ISTIHADHAH YANG PANJANG BENAR-BENAR MENGGANGGU HUBUNGAN INTIM KAMI SUAMI-ISTERI. SAYA SANGAT BIMBANG KERANA TIDAK MUNGKIN SUAMI SAYA DAPAT ‘BERSABAR’ LEBIH LAMA LAGI.

J: Darah istihadhah bukan sahaja membuatkan wanita yang mengalaminya kurang selesa, tetapi juga boleh mengganggu hubungan suami-isteri apatah lagi jika ia berlarutan berbulan-bulan lamanya. Dalam hal ini, para fuqaha berpendapat bahawa harus bagi pasangan suami-isteri melakukan persetubuhan walaupun ketika isterinya dalam istihadhah. Namun begitu, mereka berpendapat bahawa jika dapat menghindarinya adalah lebih baik kerana darah istihadhah ialah darah penyakit. Terdapat juga pandangan segelintir fuqaha yang lebih tegas dalam hal ini dan berpendapat bahawa haram menyetubuhi isteri yang istihadhah.


DARAH YANG KELUAR DARIPADA WANITA YANG HAMIL


S: SEMASA SAYA SEDANG HAMIL ANAK YANG KEDUA, TERDAPAT DARAH YANG KELUAR UNTUK BEBERAPA HARI. PERLUKAH SAYA BERSEMBAHYANG JUGA ATAU TIDAK?

J: Para fuqaha berselisih pandangan mengenai hukum bagi darah yang keluar daripada faraj wanita yang sedang hamil samada ianya haid atau istihadah. Dalam mazhab Shafii, darah yang keluar sewaktu hamil boleh digolongkan sebagai darah haid asalkan ia tidak kurang daripada sehari semalam dan juga tidak melebihi 15 hari. Jika kurang daripada sehari semalam maka ia adalah darah istihadhah dan perempuan itu wajib mengerjakan sembahyang. Jika darah tersebut berlarutan pula sehingga melebihi 15 hari, maka darah yang keluar pada 15 hari pertama ialah darah haid manakala yang selepasnya dianggap sebagai istihadhah. Wanita yang dalam istihadhah wajib mengerjakan sembahyang.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa dari sudut perubatan moden, sebarang pendarahan ketika hamil adalah merbahaya. Segera rujuk doktor jika anda melihat darah keluar ketika hamil kerana dibimbangi akan berlaku keguguran.

No comments:

Post a Comment

Silalah komen